Thursday, 28 September 2017

Pemerengganan yang Berkesan


DEFINISI PERENGGAN

Perenggan ialah binaan bahasa yang terhasil daripada susunan perkataan yang membentuk pelbagai jenis ayat untuk menyampaikan idea utama secara tuntas. Perenggan juga boleh didefinisikan seperti berikut :

Sumber
Maksud
Kamus Dewan Edisi Keempat (2007)
Bahagian daripada muka atau bab dalam buku (rencana dan lain – lain) yang terdiri daripada beberapa baris.
Abu Hassan Abdul (2012)
Perenggan dianggap sebagai inti karangan yang menyajikan satu unit idea atau satu unit isi perbincangan yang dikembangkan secara tersusun dalam satu rangkaian ayat yang saling berhubungan.
Smalley dan Ruetten (1990)
Gugusan ayat yang memperkembangkan satu idea utama.
Sulaiman Masri dan Ahmad Khair Mohd Nor (2004)
Perenggan dibentuk oleh sejumlah ayat yang mengandungi idea utama. Kebiasaannya, ayat topik menyatakan idea utama perenggan berkenaan. Ayat sokongan akan disusun dan memastikan idea tersebut jelas.
Rozaiman Makmun (2008)
Pemerenggan merupakan usaha untuk menghasilkan komposisi sebuah karangan yang mantap melalui binaan perenggan-perenggan yang sempurna. Perenggan yang sempurna terhasil apabila struktur atau bahagian-bahagian yang lengkap dalam perenggan berjaya diwujudkan. Bahagian-bahagian itu berlainan antara perenggan pendahuluan, isi dan penutup.

Pemerengganan penting untuk menyampaikan idea yang konkrit dan tersusun. Perenggan yang bermutu ialah perenggan yang mengandungi idea yang jelas, maklumat yang mencukupi, dan merangkumi ayat yang gramatis serta mudah untuk difahami. Selain itu, sebuah perenggan yang berkesan merupakan perenggan yang dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Jika tugas perenggan itu adalah untuk memperkembangkan kenyataan maka setiap ayat yang terkandung di dalamnya hendaklah merupakan peluasan dan rujukan kepada kenyataan tersebut.
Perenggan yang sempurna terhasil apabila struktur atau bahagian – bahagian yang lengkap dalam perenggan berjaya diwujudkan. Antara komponen utama yang diperlukan dalam binaan sesuatu perenggan ialah :

Jenis Perenggan
Komponen
Perenggan Pengenalan
      ·         Ayat Penyataan
      ·         Ayat Huraian
      ·         Ayat Rangsangan
      ·         Ayat Pandu / Arah
Perenggan Isi
      ·         Ayat Topik
      ·         Ayat Huraian
      ·         Ayat Contoh
      ·         Ayat Sokongan
      ·         Ayat Rumusan
Perenggan Penutup
      ·         Ayat Ringkasan
      ·         Ayat Ulasan
      ·         Ayat Cadangan
      ·         Ayat Amaran
      ·         Ayat Harapan

            Kesemua komponen di atas mempunyai fungsi  yang tersendiri untuk memastikan penulisan yang dihasilkan mantap dan mampu membantu pembaca memahami mesej yang ingin disampaikan oleh penulis.

 
CIRI – CIRI PEMERENGGANAN YANG BERKESAN

Sesebuah perenggan yang baik dan berkesan lazimnya memancarkan ciri-ciri tertentu. Antara ciri-ciri itu ialah kejelasan, kesatuan, kepautan, kerapian, penekanan, dan kesempurnaan.

·         Kejelasan

Perenggan yang dihasilkan mampu memberi makna idea yang terdapat dalam penulisan supaya mudah difahami oleh pembaca. Perenggan yang dibina mestilah mempunyai ayat yang tepat, tidak meleret-leret, istilah-istilah yang konkrit, tidak kabur, tidak terlalu umu, pemilihan perkataan yang sesuai, dan penyusunan idea yang teratur (Mohd. Azhar Abd. Hamid et. al., 2001). Contohnya, perenggan di bawah menggunakan ayat yang ringkas dan padat untuk menjelaskan idea utama. Perenggan ini juga menggunakan pemilihan kata yang sesuai dan ideanya tersusun.
                 Contoh ini dapat dilihat dalam jurnal Bahasa Melayu Murid-Murid Kensiu: Meneroka Geseran Bahasa dan Budaya oleh Jumiya Ahmad dan Nuraini Yusoff (2013), “Bahasa tidak dapat dipisahkan dan terjalin dengan kehidupan mental, penerimaan, ingat, perhatian, pemahaman, pemikiran dan semua cubaan kita untuk memberi makna kepada pengalaman kita di dunia. Disebabkan bahasa ibunda telah digunakan oleh seseorang kanak-kanak sejak kecil, sukar bagi mereka meninggalkan bahasa ibunda untuk menguasai bahasa lain”.

·         Kesatuan

Menurut Awang Sariyan (2004), kesatuan bermaksud sesebuah perenggan yang dihasilkan sebolehnya mestilah menjurus kepada satu hal atau satu idea sahaja. Hal ini menyebabkan pembaca dapat mengikuti jalan cerita penulis dengan teratur. Sekiranya terlalu banyak idea atau pendapat dalam sesebuah perenggan, ia akan menyebabkan pembaca hilang fokus mengenai apa yang ingin ditekankan oleh penulis. Dalam pada itu, kesatuan perenggan menjelaskan isi secara terus mengenai idea utama tanpa keluar dari idea utama yang dibincangkan (McCuen & Winkler, 2006). Mohd. Azhar Abd. Hamid et. al. (2001), mengatakan bahawa kesatuan dalam penulisan perenggan merupakan tumpuan atau pemusatan keseluruhan isi yang berfokus pada tajuk penulisan. Isi-isi yang disampaikan mestilah mantap, tepat, tersusun rapi, dan berkesinambungan. Contohnya, perenggan di bawah jelas isi yang dikemukan oleh penulis bersifat mantap, tepat, dan tersusun rapi. Ayat topik dan ayat-ayat huraian dalam perenggan tersebut mempunyai kesinambungan antara satu sama lain.
Contoh bagi ciri kesatuan ini dapat dilihat dalam jurnal Bahasa Melayu Murid-Murid Kensiu: Meneroka Geseran Bahasa dan Budaya oleh Jumiya Ahmad dan Nuraini Yusoff (2013), “Penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan kanak-kanak Kensiu memang tidak dapat dielakkan, apa lagi untuk disekat kerana itu adalah bahasa perantara yang digunakan dalam keluarga dan masyarakat Kensiu. Semasa berkomunikasi di rumah dan di sekolah, mereka lebih selesa menggunakan bahasa ibunda sesama mereka. Penggunaan bahasa Melayu sangat kurang dan hanya berkisar dalam bilik darjah sahaja”.

·         Kepautan

Kepautan perenggan dikatakan berpaut apabila ayat-ayat yang dibina bergerak lancar dan para pembaca dapat membacanya dengan mudah dari satu ayat ke satu ayat yang lain tanpa ada idea yang tertinggal dan tidak dinyatakan (Mohd. Azhar Abd. Hamid et. al., 2001). Awang Sariyan (2004), berpendapat perenggan yang dibina perlulah terjalin dengan baik sehingga urutan idea tersusun dan tidak kelihatan berselerak.
Menurut McCuen & Winkler (2006), “A well-written paragraph has coherence: it sentences are not only clear, logical, and grammatically correct but they are also arranged so that the reader easily understand the flow of idea. Perhaps the best way to achieve coherence is to think of your paragraph as a single unit rather than a succession of sentences the focal point of the unit is the topic sentence, which all other sentences of the paragraph should coherently work to support” (hlm.80). Contoh bagi ciri perenggan kepautan di bawah adalah menggunakan alat-alat penghubung seperti rujukan kata ganti diri, pengulangan perkataan dan penanda wacana bagi memautkan perkataan dengan perkataan, frasa dengan frasa dan ayat dengan ayat.
Contoh ini dapat dilihat dalam jurnal Bahasa Melayu Murid-Murid Kensiu: Meneroka Geseran Bahasa dan Budaya oleh Jumiya Ahmad dan Nuraini Yusoff (2013), “Dalam hal ini, dari peringkat awal persekolahan lagi guru dan pihak sekolah seharusnya berupaya mengenal pasti keperluan bahasa dan tahap mengenal huruf dalam kalangan murid-murid Kensiu. Guru perlu mengambil inisiatif untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran sebagai suatu yang menarik supaya menggalakkan murid Kensiu belajar secara berterusan di samping mengembangkan kesediaan untuk belajar dalam diri mereka. Pembelajaran berterus boleh mengekalkan hafalan dan pemahaman serta meningkatkan keupayaan perbendaharaan kata murid-murid Kensiu”.

·         Kerapian

Sekiranya sesuatu perenggan itu merupakan satu unit yang tetap, maka pergerakannya hendaklah mengikut urutan yang rapi dan jelas. Nilai kerapian dalam penulisan dapat ditentukan melalui beberapa cara. Urutan ini akan memudahkan pembaca mengikuti arah aliran pemikiran dan idea penulisan. Antara urutan tersebut ialah urutan masa, ruang, induktif, deduktif, perbandingan, dampingan, dan soal jawab (Mohd. Azhar Abd. Hamid et. al., 2001).

·         Penekanan

Penekanan diertikan sebagai penyusunan semua unsur dalam sesebuah penulisan dengan cara yang paling sesuai, yang dianggap mampu mencapai matlamat penulisan tersebut. Sekiranya penulis ingin menonjolkan sesuatu, beliau mestilah memberi penekanan yang sewajarnya pada bahagian yang ingin ditonjolkan itu dengan cara-cara tertentu agar pembaca dapat menyedari atau mengenal pasti akan penekanan tersebut. Antara cara yang boleh digunakan dalam perenggan penekanan ini adalah penekanan itu iaitu perkataan, frasa, klausa, dan ayat mestilah dinyatakan secara tegas, jelas serta terus terang. Kedua, perenggan tersebut perlulah meletakkan unsur yang ingin diberi penekanan pada posisi tertentu seperti di awal atau di akhir perenggan. Seterusnya, membincangkan secara teperinci unsur yang diberi penekanan berbanding unsur lain, mengulang penyebutan idea yang hendak ditekankan itu dan akhir sekali, mempersembahkan unsur yang hendak ditekankan dengan menggunakan gaya bahasa dan hujah yang mantap dan tepat (Mohd. Azhar Abd. Hamid et. al., 2001).
Contoh ini dapat dilihat dalam jurnal Bahasa Melayu Murid-Murid Kensiu: Meneroka Geseran Bahasa dan Budaya oleh Jumiya Ahmad dan Nuraini Yusoff (2013), “Murid-murid Kensiu mempunyai latar belakang yang berbeza dengan masyarakat Melayu. Murid-murid ini merupakan pencipta makna dalam minda dan kehidupan mereka berdasarkan pengalaman lalu dan daripada persekitaran kehidupan masyarakat mereka yang dialami dan dilalui sehari-hari. Dalam usaha untuk memupuk minat murid Kensiu dengan mengambil kira budaya mereka, guru seharusnya memberikan peluang kepada mereka untuk aktiviti-aktiviti bebas. Selain itu, pihak sekolah perlu mengadakan aktiviti tahunan yang melibatkan adik-beradik, ibu bapa, dan saudara mara murid Kensiu yang tidak melanggar amalan budaya mereka agar hubungan baik dapat dijalinkan di antara Orang Asli Kensiu dan pihak sekolah”. Perenggan ini jelas menunjukkan penekanan diberikan kepada idea utama sehingga idea utama itu diulang semula pada akhir perenggan. Penekanan tersebut juga menggunakan hujah yang mantap dan jelas untuk di fahami oleh pembaca.

·         Kesempurnaan

Sebuah perenggan tidak lengkap jika gagal untuk menyusun huraian bagi idea yang dibincangkan. Tidak ada peraturan yang dinyatakan tentang berapa panjangnya ayat dalam menghuraikan idea utama perenggan penulisan. Ayat topik perlu menjadi panduan dalam melakukan penghuraian terhadap idea utama. Semakin mengecil topik yang dibincangkan semakin ringkas dan padat huraian yang dilakukan. Penulis perlu memastikan ayat huraian lebih spesifik dan tertumpu kepada ayat topik (McCuen & Winkler, 2006).
Menurut Mohd. Azhar Abd. Hamid et. al. (2001) sebuah perenggan tersebut boleh menjalankan tugas-tugas seperti mengembangkan idea atau ayat topiknya dengan sempurna dan lengkap. Perenggan yang sempurna akan memudahkan pembaca untuk membaca dan tidak menyebabkan pembaca tertanya-tanya tentang idea yang ingin disampaikan. Elemen yang perlu diberikan perhatian untuk memastikan perenggan itu sempurna adalah susunan ayat yang gramatis, kesatuan idea dan urutan aksi.
Contohnya, perenggan di bawah menunjukkan susunan ayat yang digunakan bagi menguraikan idea adalam betul dari segi tatabahasanya. Perenggan ini juga turut mengutamakan idea dan huraian yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Contoh perenggan ini dapat dilihat dalam jurnal Bahasa Melayu Murid-Murid Kensiu: Meneroka Geseran Bahasa dan Budaya oleh Jumiya Ahmad dan Nuraini Yusoff (2013), “Pengabaian dalam memberi sokongan maruah kepada murid akan memberi kesan negatif kepada pembelajaran kanak-kanak. Pengabaian juga tidak akan menggalakkan murid-murid dalam pembelajaran bahasa kedua yang akan mengakibatkan peningkatan perbendaharaan kata mereka tidak berlaku. Bertutur adalah penting dalam proses pembelajaran. Perbendaharaan kata ialah keperluan bagi pembelajaran bahasa individu. Murid Kensiu dan murid Melayu hadir ke sekolah dengan pelbagai latar belakang, budaya dan linguistik serta julat pengalaman dan kebolehan yang berbeza. Oleh itu, penghasilan program pengajaran dwibudaya kepada murid dalam bilik darjah yang terdiri daripada murid Melayu dan Kensiu adalah perlu.”